KAEDAH JERNIHKAN BATIN MENURUT IMAM AL GHAZALI - SIRI 1
AKHLAK : Kaedah Jernihkan Batin Menurut Imam Al Ghazali.
Sejarah membuktikan masalah akhlak tidak pernah lari daripada kehidupan manusia.
Kisah pembunuhan anak Nabi Adam a.s. bernama Habil diikuti penolakan segolongan manusia terhadap Kitab Allah yang diutuskan kepada para nabi dan rasul, penyembahan berhala, menyekutukan Allah serta pelbagai lagi merupakan antara kisah masalah akhlak yang disampaikan kepada manusia agar sekalian manusia mengambil iktibar dan pengajaran daripadanya.
Kini, isu-isu akhlak masih lagi berlaku yang melibatkan pelbagai usia, bangsa juga agama. Pada awal 90-an dahulu, isu akhlak ini dikategorikan kepada jenayah kolar putih dan jenayah kolar biru serta dikenali juga sebagai budaya kuning.
Kini masalah akhlak telah mencorakkan ‘kanvas’ dalam pelbagai warna, rupa serta semakin menular yang melibatkan pelbagai bentuk dan aspek, sama ada secara fizikal atau secara maya.
Sempena kelahiran junjungan Rasulullah SAW yang disambut baru-baru ini, perlu ditelusuri objektif diutuskan para nabi dan rasul ke atas muka bumi ini khususnya Nabi Muhammad SAW yang dijelaskan dalam al-Quran melalui Surah al-Qalam (68) ayat keempat:
“Dan bahawa sesungguhnya engkau (Muhammad) mempunyai akhlak yang sangat mulia.”
Rahsia kekuatan sahsiah baginda terletak pada kemuliaan akhlaknya apabila berlaku pertembungan antara prinsip diri dengan maslahah umum. Baginda mempraktikkan akhlak Islam dalam segenap aspek kehidupan yang menjadi garis panduan kepada kita hari ini.
Maka, sebagai seorang Islam yang beriman dengan Allah serta mengakui baginda Nabi Muhammad SAW sebagai utusan Allah seharusnya mencontohi akhlak mulia yang ditunjukkan oleh baginda, seterusnya berusaha mempraktikkannya dengan sentiasa bermuhasabah dan melakukan perubahan diri agar lebih baik dari semasa ke semasa.
Prof Madya Dr Khairul Hamimah Mohammad Jodi
Fakulti Pendidikan, Open University Malaysia.