ILMU

ILMU, Menuntut ilmu adalah taqwa, menyampaikan ilmu adalah ibadah, mengulang- ulang ilmu adalah zikir, mencari ilmu adalah jihad.

~ Imam Al Ghazali ~


Menuntut ilmu adalah antara amalan yang amat dituntut Islam kerana ia membawa kepada pelbagai kebaikan.

1. Ilmu untuk ibadat

Dengan ilmu manusia dapat menjalankan ibadah dengan sempurna, samada ibadah umum atau ibadah khusus dan dapat melaksanakan peranan sebagai khalifah Allah di muka bumi dengan sebaiknya.

Tanpa ilmu pengetahuan, seseorang itu tidak akan dapat melakukan ibadat kepada Allah SWT dengan sempurna. Malah, amalan boleh tertolak tanpa ilmu yang betul khususnya berkaitan ibadah.

Ketinggian martabat ahli ilmu berbanding ahli ibadah turut memberi gambaran yang amat jelas bahawa segala amal ibadat akan menjadi sia-sia sekiranya dilaksanakan tanpa ilmu.


2. Meninggikan darjat

Allah SWT meletakkan kedudukan orang berilmu lebih tinggi dan mulia di sisi-Nya. Terdapat beberapa ayat dalam al-Quran yang secara jelas menyatakan kelebihan orang yang berilmu daripada yang lainnya.

Antaranya firman Allah SWT yang bermaksud: “Allah meninggikan darjat orang yang beriman di antara kamu dan orang yang diberi ilmu pengetahuan agama (daripada kalangan kamu) beberapa darjat. Dan (ingatlah) Allah maha mendalam pengetahuan-Nya mengenai apa yang kamu lakukan.” (Surah al-Mujadalah, ayat 11).

Rasulullah SAW turut menyatakan bahawa darjat orang yang berilmu lebih mulia daripada orang yang tidak memiliki ilmu. “Sesiapa menempuh jalan untuk menuntut ilmu, maka Allah akan memudahkan baginya jalan menuju ke syurga dan para malaikat akan merendahkan sayapnya memayungi penuntut ilmu serta semua penghuni bumi dan langit dan ikan dalam lautan, semuanya memohon keampunan buat mereka dan sesungguhnya keutamaan darjat seorang ‘alim (ahli ilmu) ke atas seorang ‘abid (ahli ibadah) seperti keutamaan bulan purnama berbanding bintang-bintang.” (Hadis Riwayat Abu Dawud)


3. Kedudukan istimewa

Tanpa ragu-ragu lagi, ilmu serta ahlinya mempunyai kedudukan istimewa di sisi Allah SWT. Usaha memperoleh kemudahan menuju ke syurga-Nya dan mendapat doa keampunan daripada makhluk-Nya adalah antara ganjaran besar khusus untuk mereka yang berada dalam kelompok ahli ilmu atau dalam usaha untuk menuntut ilmu.

Allah SWT menjelaskan segalanya mengenai perkara yang boleh meningkatkan darjat seseorang manusia di sisi-Nya. Semua perkara yang melayakkan seseorang dinaikkan darjatnya bukan perkara berat kerana semuanya mampu dilakukan setiap orang yang berusaha mendapatkannya.

Allah SWT membuka jalan-Nya supaya manusia berusaha menjadi hamba yang berada pada darjat kedudukan yang istimewa. Apakah ada lagi alasan kita untuk tidak menjadi hamba-Nya yang istimewa?


Sama-samalah kita menuntut ilmu, ilmu terlalu luas, jika anda telah mempunyai kepakaran dalam bidang tertentu ada banyak lagi cabang ilmu yang perlu dipelajari. Proses menuntut ilmu tak kan pernah habis. Manfaatkan ilmu yang anda miliki untuk kebaikan.

Catatan popular daripada blog ini

KATA-KATA HABIB ALI ZAENAL ABIDIN

KEMAAFAN

KAEDAH JERNIHKAN BATIN MENURUT IMAM AL GHAZALI - SIRI 1