KAEDAH JERNIHKAN BATIN MENURUT IMAM AL GHAZALI - SIRI 3
Amalan menjernihkan batin.
Bagaimana pula dengan amalan menjernihkan atau membersihkan batin? Menurut al-Ghazali, amalan menjernihkan hati umpama tubuh badan manusia. Tubuh badan menjadi sempurna, sihat kuat berdasarkan proses tumbesaran, pemeliharaan dan pengambilan makanan.
Makanan yang baik dan sihat akan membentuk badan yang cergas serta cerdas, begitulah juga sebaliknya. Begitulah dengan tubuh badan yang bermula dengan amalan pembersihan batin serta penjernihan jiwa.
Apabila jiwa bersih, baik dan suci, maka bersihla ia. Jika jiwa itu kurang bersih dan kotor, perlu ada usaha untuk melindunginya, menyucikannya dan mencari ‘supplement’ untuk memantapkannya.
Contohnya, penyakit bodoh diubati dengan belajar, kedekut diubati dengan murah hati, sombong diubat dengan merendahkan diri dan serakah akan terubat dengan memaksa nafsu menahan apa-apa yang diingini.
Imam Ghazali memberi beberapa panduan kepada kita bagaimana mahu memantapkan amalan penjernihan batin. Panduan ini boleh digunakan oleh semua lapisan masyarakat baik ibu bapa, ketua, majikan, pemimpin dan sebagainya.
Panduan Al-Ghazali
Al-Ghazali menyatakan, sekiranya seorang murid masih hijau dalam soal agama (tidak tahu batas-batas syarak), maka guru harus bermula dengan didikan cara bersuci, menunaikan solat dan melakukan ibadat-ibadat yang dituntut.
Sekiranya seseorang murid sedang asyik dengan sesuatu yang diharamkan atau berkecimpung dengan perbuatan dosa, maka guru hendaklah memastikan muridnya meninggalkan perbuatan-perbuatan yang buruk lakunya.
Sekiranya murid itu memang sudah baik, jiwanya bersih, tidak melakukan akhlak yang keji, maka guru perlu sentiasa lagi menasihati, mengingatkan murid agar menjaga tingkah lakunya agar murid itu lebih memahami mengapa dia perlu berakhlak mulia.
Tambah al-Ghazali lagi, jika guru melihat adanya harta murid yang lebih daripada kadar keperluannya, maka guru harus mengambil kelebihan harta itu daripada murid tersebut serta digunakan untuk kebaikan, kemudian mengosongkan hati si murid daripada kelebihan harta tersebut sehingga murid itu tidak menginginkan dan mengutamakan harta.
Jika guru melihat adanya kealpaan, kesombongan dan rasa riak mula menguasai hati murid dan akhlaknya, maka guru hendaklah menyuruh murid itu pergi ke pasar menjadi peminta sedekah dan mengemis di sana.
Hal ini disebabkan kerana perasaan ego, mulia, sombong, riak tidak akan hilang jika seseorang itu tidak menghinakan diri.
Seterusnya, guru hendaklah sentiasa membiasakan murid untuk berbuat demikian (menjadi pengemis dan peminta sedekah) sehingga hilang lenyaplah perasaan sombong dan mulia diri murid itu. Ini kerana sifat sombong itu termasuk penyakit-penyakit yang merosakkan jiwa dan lalai.
Kesungguhan dan berterusan
Kaedah serta saranan contoh yang diberikan oleh al-Ghazali merupakan metode global dalam rawatan mengubat penyakit hati bagi mendapatkan amalan-amalan perjernihan batin. Latihan akhlak berbentuk amali dan pembersihan hati memerlukan kepada kesungguhan, tanpa jemu dan berterusan.
Manusia perlu memahami bahawa hati sentiasa berlawan dengan keinginan nafsu dan kecenderungannya. Mereka yang bersungguh-sungguh menahan nafsu kerana takutkan Allah, maka syurgalah tempat yang selayak untuknya (Surah al-Nazi´at (79) ayat 40-41). Nabi Muhammad SAW turut menjelaskan melalui hadisnya:
“Orang yang cerdik berakal ialah orang yang memperhitung keadaan dirinya dan suka beramal mencari bekal sesudah mati, manakala orang yang lemah ialah orang yang selalu mengikuti hawa nafsunya dan mengharap-harapkan kemurahan Allah, (iaitu mengharapkan kebahagiaan dan pengampunan di akhirat, tanpa mahu beramal soleh).” (HR Ibnu Majah, No. 4260, Hadis Hasan)
Justeru, untuk mencapai penjernihan jiwa, seseorang itu perlu melawan nafsunya, mempunyai hala tuju, niat yang betul, bersungguh-sungguh serta berfikiran positif.
Nafsu merupakan salah satu ujian dan cubaan daripada Allah kepada manusia, sebagai hamba ciptaan-Nya kita mesti bersabar, tetapkan hati, sentiasa berpegang pada niat untuk melatih diri membentuk akhlak yang murni..
Prof Madya Dr Khairul Hamimah Mohammad Jodi
Fakulti Pendidikan, Open University Malaysia.