10 MUTIARA KATA " IMAM AS-SYAFIE BUAT PENUNTUT ILMU "
Imam As-Syafie atau nama sebenarnya Muhammad bin Idris as-Syafie (wafat 204H) adalah seorang daripada empat tokoh imam mujtahid masyhur yang membangunkan empat mazhab fiqah terbesar dalam Islam. Imam as-Syafie terkenal dengan gelaran Nasir as-Sunnah (Penolong Sunah) kerana pegangannya yang teguh terhadap hadis.
Imam Syafie terkenal sebagai seorang yang sangat cintakan ilmu. Beliau juga terkenal dengan mutiara kata dan nasihat yang boleh kita amalkan dalam kehidupan seharian terutamanya bagi mereka yang cintakan ilmu pengetahuan
Hayati sepuluh mutiara kata dan nasihat Imam Syafie ini buat mereka yang sedang menuntut ilmu atau untuk orang yang cintakan ilmu.
Memang benarlah apa yang disampaikan oleh Imam Syafie merupakan suatu kata-kata nasihat yang sungguh bermakna berdasarkan pengalaman dan perjalanan hidup beliau sejak kecil yang cintakan ilmu. Jadikan mutiara kata Imam Syafie ini sebagai sesuatu yang bermanfaat untuk kita hayati dan amalkan.
“Sesiapa yang inginkan dunia, hendaklah dia mempunyai ilmu, sesiapa yang inginkan akhirat, hendaklah dia mempunyai ilmu, sesiapa yang inginkan kedua-duanya, maka hendaklah dia mempunyai ilmu.”
“Aku mampu berhujah dengan 10 orang yang berilmu tetapi aku pasti kalah dengan seorang yang jahil, kerana orang yang jahil itu tidak pernah faham landasan ilmu”
Wahai Saudaraku!! Menuntut ilmu memerlukan kombinasi enam perkara utama iaitu dengan :-
Kecerdasan, Semangat, Kesungguhan, Kemampuan, Bimbingan ( berguru ), Istiqamah.
“Ilmu adalah cahaya penyuluh dalam kehidupan manusia. Dengan ilmu, ia dapat membimbing manusia ke arah kebaikan serta mengeluarkan diri manusia daripada kegelapan dan kejahilan kepada cahaya dan kebenaran.”
“Barangsiapa yang tidak mencintai ilmu, maka tidak ada kebaikan padanya”.
“Sesiapa yang tidak pernah mengecapi pahit getir menuntut ilmu walaupun seketika, maka ia akan terjerumus ke dalam kehinaan kejahilan seumur hidupnya.”
“Dan sesiapa yang tidak memanfaatkan masa mudanya untuk menuntut ilmu, maka bertakbirlah empat kali sebagai tanda kematiannya.”
“Dan pemuda yang sejati – demi Allah – adalah dengan ilmu dan ketakwaan. Jika kedua-duanya tidak dimilikinya maka ia bukanlah pemuda sejati.”
“Apabila bercakap orang bodoh, maka jangan engkau menjawabnya. Maka sebaik-baik jawapannya ialah diam.”
“Apabila orang bodoh mengajak berdebat denganmu, maka sikap yang terbaik adalah diam, tidak menanggapi. Apabila kamu melayani, maka kamu akan susah sendiri. Dan bila kamu berteman dengannya, maka dia akan selalu menyakiti hati”
“Ilmu itu bukan yang dihafal tetapi yang memberi manfaat.”