KAEDAH JERNIHKAN BATIN MENURUT IMAM AL GHAZALI - SIRI 2
AKHLAK : Kaedah Jernihkan Batin Menurut Imam Al Ghazali.
Kepentingan akhlak.
Apakah akhlak? Adakah akhlak itu terbentuk dengan sendirinya atau boleh dihasilkan melalui pendekatan tertentu? Benarkah akhlak itu tidak boleh diubah sama sekali?
Mari kita lihat, apakah jawapan kepada persoalan tersebut. Akhlak berasal daripada perkataan Arab (خلق) yang terdiri daripada perkataan “kha, lam, qaf” yang boleh dibaca sebagai khuluq, khuluqun ataupun khuluqun yang membawa maksud adat, perangai, maruah, agama, tabiat, tingkah laku dan jiwa manusia.
Menurut Ibnu Miskawayh melalui kitabnya Tahdib al-Akhlaq menjelaskan, akhlak boleh dibentuk melalui latihan dan kebiasaan. Perkara ini dipersetujui oleh Plato yang turut berpandangan bahawa akhlak boleh diubah melalui pendidikan yang berterusan melalui nasihat yang sering diulang serta bimbingan tunjuk ajar daripada seseorang.
Mengapa akhlak itu penting kepada setiap individu? Ini disebabkan akhlak merupakan cerminan diri, maruah, agama, sifat dan jati diri seseorang melalui apa yang ditonjolkan dan ditampilkan.
Daripada tindakan, perbuatan dan penampilan yang ditonjolkan, maka terbentuklah akhlak yang dinamakan mahmudah (baik) dan akhlak mazmumah (keji).
Akhlak tersebut terbit secara semula jadi atau dimiliki hasil daripada latihan dan sebagainya yang akhirnya diterima sebagai tabiat. Atas dasar inilah akhlak begitu penting dalam kehidupan manusia kerana:
1. Akhlak menunjukkan keadaan jiwa dan hati seseorang
2. Akhlak menunjukkan aspek luaran individu iaitu tindakan pelaku yang melakukannya atas pilihan sendiri
3. Akhlak menunjukkan kebiasaan, amalan, tabiat dan praktis pelaku tersebut
Imam al-Ghazali menyatakan, akhlak ibarat sesuatu keadaan yang tertanam dalam jiwa yang keluar daripadanya bentuk perlakuan atau tindakan dengan mudah, tanpa perlu kepada proses berfikir atau membuat pertimbangan.
Sekiranya keluar daripada jiwa itu perbuatan-perbuatan yang baik dan terpuji dari sudut akal serta syarak, maka keadaan itu dinamakan sebagai akhlak hasanah, namun sekiranya keluar perbuatan-perbuatan yang buruk, maka dinamakan keadaan itu sebagai akhlak yang keji.
Al-Ghazali menyatakan lagi bahawa akhlak itu lebih merujuk kepada ‘keadaan’ dan ‘suasana’ yang terdapat dalam jiwa seseorang, bukan ditunjukkan secara lakonan secara sengaja.
Akhlak yang dipamerkan itu merupakan perbuatan yang sudah biasa dan sebati dalam diri seseorang sehingga apabila seseorang mahu melakukan perbuatan tersebut, dia sudah tidak perlu lagi untuk berfikir terlebih dahulu, malahan boleh dilaksanakannya atau muncul daripada dirinya secara spontan.
Kaedah pembentukan akhlak
Maka, dapat dijelaskan bahawa akhlak ini boleh dibentuk, dipupuk dan dididik. Terdapat lima kaedah pembentukan akhlak menurut al-Ghazali iaitu:
1. Latihan amali dan amalan-amalan menjernihkan batin
2. Meletakkan diri dalam lingkungan persekitaran yang soleh
3. Qudwah hasanah
4. Tekanan sosial daripada masyarakat Islam
5. Pelaksanaan al-mujahadah dan al-riyadah
Mari kita bincangkan kaedah yang pertama dahulu iaitu melalui latihan amali dan amalan-amalan menjernihkan batin.
Prof Madya Dr Khairul Hamimah Mohammad Jodi
Fakulti Pendidikan, Open University Malaysia.